Wednesday, April 25, 2012

Jangan Pernah Lupa Doakan Ibu

                                                    


Bunyi senapang sudah menggila. Sesekali ada peluru yang menembusi daun tingkap, membuat lubang pada dinding rumah. Sesekali bumi bergegar, dan debu-debu menyeruak ke ruangan rumah yang kecil.

Salwa, anak perempuan yang baru berumur enam tahun semakin kuat memeluk ibunya, dan ibunya semakin kuat memeluk Salwa.

“Ibu, Salwa takut,” rintih Salwa. Yang tersudut di penjuru rumah kecil, berdinding tanah liat keras dan berbumbung genting nipis.

Ibunya terus memeluk erat sambil mengusap-usap kepalanya.

“Tenang sayang. Jangan takut.” Hanya itulah kata-kata yang mampu ibunya berikan kepada Salwa. Selain itu, semua kata-katanya sudah hilang daripada fikirannya.

Bang! Satu peluru sesat mengenai gambar keluarga yang tergantung. Pecah lalu terhempas ke lantai. Serentak itu ibu Salwa semakin memeluk Salwa erat. Serentak itu juga, tangis Salwa sudah tidak mampu ditahan-tahan.

“Jangan menangis sayang.” Ibu Salwa terus memujuk.

“Ibu, Salwa takut!” Sekali lagi, hanya itu yang Salwa tahu.

Untuk ibu Salwa, tidak ada apa lagi yang mampu diucap, selain hanya menguatkan pelukan, dan mengulang perkataan sabar. Dadanya sendiri sudah bergegar. Bunyi tembakan semakin menggila.

“Ayah mana? Salwa takut!” soal Salwa sambil air matanya mengalir deras.

Ibu Salwa hanya diam. Tidak tahu bagaimana dia mahu menjawab soalan itu. Yang dia tahu, bunyi senapang semakin meriah, semakin terasa dekat. Akhirnya, ibu Salwa ikut menitik air mata dan pada ketika itulah bunyi tembakan berhenti. Ibu Salwa terus memasang telinga dengan hati yang sudah berdenyut-denyut mahu pecah. Dan pada ketika itulah pintu rumah mereka pecah terkopak.

Dua lelaki berpakaian tentera dengan mata merah menghalakan senjata ke arah Salwa dan ibunya.

“Pengkhianat!” jerit tentera dengan suara yang sudah sama gemanya dengan bunyi senjata.

Hati Salwa berdetak kuat. Tangisnya semakin lebat.

“Tuan, tolong jangan bunuh kami. Kami tidak buat apa-apa,” rayu ibu Salwa, penuh harap dengan tangan yang memohon ampun.

“Kami akan bunuh semua keluarga pengkhianat! Suami kau pengkhianat, kau pun pengkhianat!” Tentera itu semakin hampir kepadanya dengan senjata yang sudah sedia ditarik picunya.

“Kalau mahu bunuh, bunuh sahaja saya. Tolong jangan bunuh anak saya,” rayu ibu Salwa lagi, lebih bersungguh-sungguh sehingga tidak peduli lagi air mata yang sudah berjurai-jurai.

“Pergi jahanam! Semuanya akan aku bunuh!” pekik tentera itu, dan jarinya sudah ditarik 10 peratus dan ketika itulah, rakannya segera menghalang.

“Takkan kita mahu biarkan semudah itu pengkhianat ini mati!” kata rakannya keras dengan senyuman jahat tersungging di bibirnya.

“Jadi?” Tentera yang sudah mabuk darah bertanya dengan hati yang tidak puas. Masakan tidak, senapang sudah sedia memuntahkan peluru, tiba-tiba dihalang nikmatnya.

“Kita seksa mereka.”

Serentak itu, tentera itu mengeluarkan bom tangannya. Dengan wajah yang tersenyum semakin jahat dia berkata, “Biar mereka anak beranak mati di dalam rumah ini.”

Rakan ikut tersenyum jahat, sebelum ketawa yang membuatkan Salwa semakin memeluk erat ibunya. Ibu Salwa hanya tunduk melindungi Salwa dengan tubuhnya. Hanya itu yang dia mampu fikir dan perbuat.

Kedua-dua tentera itu segera keluar dari rumah dan pada ketika ketawa mereka sudah sayup-sayup, sebutir bom bergolek masuk dari depan pintu rumah.

“Ya, Allah!” Itulah kata-kata akhir yang Salwa dengar daripada ibunya, sebelum kedengaran bunyi yang maha kuat, diikuti pandangannya yang sudah gelap.

Salwa tidak tahu, berapa lama sebelum dia membuka mata dan melihat ibunya sedang dalam posisi merangkak, dengan tangan dan kakinya menopang tubuh, dan Salwa berada di bawah tubuh ibunya. Terlindung daripada serpih atap-atap rumah yang menimpa, terhindar daripada serpih-serpih dinding yang runtuh.

Salwa hanya memerhatikan ibunya yang sudah bergetar tubuhnya. Dan darah menitik daripada sekujur tubuh ibunya.

“Ibu!” Salwa cuba memeluk ibunya tetapi keadaan yang sempit, hanya memboleh Salwa mengusap-usap wajah ibunya yang penuh debu dan darah.

“Salwa, alhamdulillah, kamu selamat sayang,” kata ibu Salwa lembut tetapi penuh pedih.

“Ibu!” jerit Salwa. Hanya itu yang dia tahu dan mampu fikir kerana memang hanya itulah dunia Salwa, ibunya.

“Sayang, nanti kamu akan hidup seorang diri. Tidak akan ada orang lagi sikatkan rambut kamu, tidak akan ada lagi pakaikan baju kamu, tidak akan ada lagi suapkan kamu. Semuanya kamu perlu buat sendiri. Jangan takut, itu semua kamu boleh buat. Kamu anak ibu yang pandai dan berani.”

Ibu Salwa berkata dengan darah menitik dari mulut. Walau suara sangat perih, tetap juga dia memaksa suara keluar dari kerongkongnya.

“Ibu!” Salwa sekali lagi menjerit, menangis.

“Sayang, ingat pesan ibu baik-baik. Apapun yang terjadi, sabarlah. Jangan hilang sabar kerana selepas ini, tidak akan ada orang lagi yang sangat bersabar kepadamu, selain diri kamu sendiri.”

“Ibu!” Salwa menjerit lagi.

“Sayang, jaga diri. Jangan pernah lupa doakan ibu....” Ibu Salwa semakin perlahan suaranya... dan kemudiannya hanya terdengar bunyi halus... “Lailahaillahlah....”

“Ibu......!” Dan tangis Salwa semakin panjang.....

30 tahun kemudian.

“Ibu, ini kubur siapa?” soal seorang anak perempuan, yang mungkin umurnya lima tahun, yang ikal halus rambutnya hingga menutup mata, kerana sudah jatuh klip rambutnya entah di mana-mana.

Perempuan yang dipanggil ibu itu tersenyum lalu terus memeluk anak perempuan itu. Memeluk erat-erat.

“Ibu sakit!” kata anak perempuan itu sambil cuba lepas daripada pelukan ibunya.

“Maaf... ibu tidak sengaja.”

Ibunya tetap memeluk tetapi sudah longgar.

“Ibu, ini kubur siapa?”

“Ini kubur nenek kamu,” jawab perempuan itu, sebak.

“Nenek?”

Akhirnya anak perempuan itu kembali dipeluk erat ibunya.

“Dahulu, nenek kamu berpesan kepada ibu, jadilah orang yang bersabar kerana tidak akan ada orang lagi bersabar ke atas kamu selain diri kamu.”

“Apa ibu cakap? Saya tidak faham,” soal anak perempun itu yang dengan hati-hati cuba melepaskan diri daripada pelukan erat.

“Memang kamu tidak akan faham sekarang, tetapi kamu akan faham pada ketika kamu seusia ibu.” Sudah ada air mata yang berkolam di pelupuk mata ibu itu.

“Kalau ibu faham, apa maksudnya?” Anak kecil itu masih belum mampu lepas daripada pelukan ibunya.

Ibu itu diam 30 saat sebelum dapat menghilangkan sebak dan dia berkata sesuatu yang sebenarnya ditujukan untuk dirinya. Ya, memang untuk dirinya kerana dia yakin anaknya itu pasti tidak mengerti.

“Orang yang paling bersabar dengan diri kita adalah ibu kita. Tidak akan kita temui lagi orang yang sesabar ibu kita. Malah, pada saat kita tidak sabar dengan diri kita, ibu kita yang datang meminjamkan sabarnya. Malah sabarnya ibu kita itulah yang menjami sabarnya Allah dengan kita. Pada ketika ibu sudah hilang sabar dengan anaknya, hilanglah redha ibu, maka hilanglah juga redha Allah.”

“Saya tidak faham!” Anak kecil itu merengek meminta lepas. Sudahlah dikepung dengan pelukan ibunya, kini dia dikepung pula fikiran dengan kata-kata ibunya yang panjang.

“Nanti-nanti kamu fahamlah,” jawab ibu itu tersenyum lalu mengesat air matanya yang bertakung sebelum menyambung, “Buat masa ini, cukuplah kamu faham, ibu sangat sayangkan kamu.”

Anak kecil itu berhenti meminta lepas. Dia memandang ibunya sebelum memeluk leher ibunya dan berkata, “Saya juga sayangkan ibu.”

“Kalau sayangkan ibu, kamu jangan pernah lupa doakan ibu.” Si ibu melepaskan pelukan selepas memberikan satu ciuman pada pipi anaknya.

“Saya sentiasa doakan ibu.” Si anak berkata dengan wajah serius.

“Betul?” Si ibu terus mengusik.

“Betul. Dengar ini,” kata si anak lalu menadahkan tangannya lalu berdoa, “Ya, Allah, sayangi ibu saya sebagaimana dia sayangi saya. Ya, Allah, jangan beri dia susah kerana dia yang selalu ubatkan saya kalau saya sakit, beri saya makan, sikat rambut saya dan pakaian saya baju. Ya, Allah saya sayang ibu saya.”

Ibu itu tergelak kecil, dan serentak pelupuk matanya kembali berkolam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...