Tuesday, May 8, 2012

cerpen - Bagaimana Dengan Buah Hati Saya

 Saya adalah anak lelaki yang bongsu. Masih belajar pada tahun kedua di universiti. Saya juga adalah lelaki yang sudah punyai kekasih hati yang cantik, pintar dan menjaga diri. Saya tahu, umur saya masih muda, tetapi saya juga tahu cinta saya itu perlu segera dicepatkan dengan bernikah.

Kepada ibu sudah saya beritahu tentang hasrat hati mahu bernikah muda, dan dia cuma berkata, “Tanyalah ayah kamu.” Lalu yakin saya bertambah, kerana menganggap itulah restu ibu. Namun pada ketika saya memaklumkan hasrat hati kepada ayah, terjadi sesuatu yang membuatkan saya resah.

Sofa putih. 

Mahu menikah dengan siapa, ayah tidak pernah kisah dan dia yang pada ketika itu duduk di sofa putih memberitahu dengan ayat yang mudah, “Saya yakin dengan kamu. Kamu anak yang baik dan pasti punyai pilihan yang baik.”

Namun pada ketika persoalannya adalah, mahu menikah bila, ayah menjadi sebaliknya. Katanya mula memeningkan, “Ada sebabnya Tuhan menjadikan manusia itu secara bertahap. Terlentang, merangkak, bertatih dan barulah berlari dan kemudiannya ia akan kembali berjalan, bertatih, merangkak dan akhirnya terlentang mati. Itu yang cuma nampak pada fizikal, tetapi hati juga bertahap. Ia juga merangkak, bertatih, berjalan, berlari dan kemudiannya kembali berjalan, bertatih, merangkak dan akhirnya diam mati. Itu semua menyangkut hal keutamaan. Mana yang perlu didahulukan dan mana yang tidak. Jadi, hal nikah itu bukan sahaja kamu perlu sesuaikan dengan tahap fizikal kamu, tetapi perlu sesuaikan dengan tahap hati kamu.”

Saya menjadi tidak setuju. Segala hujah segara saya keluarkan. Hujah nikah khitbah, hujah orang zaman dahulu bernikah pada umur belasan, hujah bagi membendung maksiat, dan pelbagai lagi hujah lain. Saya menjadi berani. Semuanya kerana cinta saya kepada perempuan itu menyala-nyala dan pasti setiap halangan akan tetap saya tempuhi.

Lalu ayah hanya tersenyum. Katanya, “Anakku, itu semua betul tetapi ia cuma betul pada ketika tarikhnya juga betul. Tarikh di sini adalah persediaan hati kamu. Saya ini, ayah kamu dan saya tahu kamu belum bersedia.”

“Saya sudah bersedia. Saya sudah mengaturkan segalanya. Saya akan nikah khitbah dahulu, saya akan berusaha menghabiskan pelajaran di samping bekerja sambilan. Tidak lama, cuma tiga tahun dan selepas itu semuanya akan kembali mudah. Namun paling utama, hati anakmu ini tenang, dan terjauh daripada dosa besar.” Itu hujah saya, hujah yang saya sudah sediakan tiga hari sebelum dengan membaca banyak sekali fakta berkenaan nikah muda.

Ayah tetap juga tersenyum dan berkata, “Anakku, sekiranya niat kamu bernikah mahu mengelakkan maksiat, ketahuilah, kamu mempunyai peluang bagi terjebak dengan cinta lain dengan perempuan lain atas dasar nafsu. Lalu apa selepas itu? Kamu akan nikah lagi dan bagaimana dengan isterimu? Sekiranya isterimu setuju, alhamdulillah tetapi berapa ramai perempuan begitu di dunia ini? Pasti tetap cemburu, hubungan menjadi dingin, lalu bagaimana dengan anak-anak kamu? Bagaimana dengan keluarga kamu?”

Persoalan yang ayah lontarkan itu membuat saya semakin tidak senang.

“Ayah, saya hormati penerangan ayah. Tetapi bagaimana dengan hati kami? Pasti ayah juga tahu, cinta dan rindu itu ubatnya hanyalah nikah. Apa yang perlu saya buat? Ayah mahu melihat saya menderita kerana cinta?” rayu saya.

“Seperti yang ayah sudah beritahu, kamu anak yang baik dan pasti boleh lebih baik daripada sekadar itu. Menderita kerana cinta? Itu memang pasti berlaku, tetapi bukan kepada engkau, anakku. Ayah tahu kamu boleh menderita yang lebih perlu daripada sekadar menderita kerana cinta. Menderita kerana takut kepada dosa, menderita kerana berbuat dosa, menderita melihat kesusahan orang lain dan seumpamanya.”

Pantas saya menjawab saya menderita kerana saya takut terjerumus pada dosa besar. Saya menderita kerana takut jatuh ke dalam fitnah.

Kali ini senyuman ayah tidak nampak lagi, dan saya yakin saya sudah memenangi hatinya. Namun tetap juga saya tahu, ayah tetap mahu berkata sesuatu.

“Anakku, jelas hati kamu belum bersedia. Saya ini ayah kamu, tetapi kamu sendiri belum mampu meyakinkan ayah berkenaan rancangan nikah kamu selain hujah kamu takut dosa. Nikah itu bukan sekadar kamu takutkan dosa. Sekiranya kamu benar-benar takutkan dosa, solat sunat kamu akan bertambah, bukannya dengan memilih jalan pintas iaitu nikah. Jelas sekali, kamu menikah kerana hanya mahu memuaskan nafsu kamu. Selepas itu apa? Bagaimana dengan psikologi kamu? Adakah kamu sudah bersedia menjadi suami? Adakah buah hati kamu sudah bersedia menjadi isteri? Lalu bagaimana dengan keluarga si perempuan itu? Adakah dia yakin kepada kamu yang masih berada dalam tanggungan ayah?”

Soalan-soalan ayah itu membuatkan hati saya semakin dijerut. Ayah sepertinya tidak tahu maksud sebenar saya. Kami sepertinya berbual bukan pada landasan yang sama lalu tidak mungkin akan bertemu. Saya berbicara berkenaan nikah atas mahu menghalalkan hubungan tetapi dia, hanya melihat pada kemampuan ekonomi saya. Sesuatu yang lebih ringan berbanding dosa besar tadi.

“Sekiranya ayah tetap tidak setuju, saya tetap akan teruskan juga. Lagi pula saya sudah menanggung dosa saya sendiri. Sekiranya saya terjebak dalam dosa, saya juga yang neraka. Jadi saya nekad.” Itulah jawapan saya. Jawapan yang bukan mahu kurang ajar tetapi mahu memberitahu, saya tahu dengan apa yang saya buat dan saya tegas dalam perkara itu.

Ayah tidak berlengah memberi hujah.

“Tidak salah sekiranya kamu bernikah semasa kamu masih belajar dan kamu masih belum bekerja. Yang salah adalah diri kamu belum bersedia. Itulah maksud ayah, iaitu kamu perlu sesuaikan aktiviti kamu dengan keadaan hati kamu mengikut keutamaan. Kamu tidak boleh terus berlari sekiranya kamu masih bertatih. Sekarang ini, kamu masih bertatih dalam ilmu keluarga, dan kamu terus mahu berlari bagi bernikah. Itu tidak betul kerana tidak mengikut keutamaan. Hati kamu sekarang, adalah hati yang hanya mahu seronok-seronok, mahu yang nampak 'sweet', tetapi belum bersedia dengan yang namanya tanggungjawab.”

“Itu ayah jangan risaukan. Saya ini cepat belajar, dan saya tetap mahu bernikah!” Saya semakin tegas, dengan nada yang juga tegas.

Ayah pula segera memegang tangan saya.

“Itulah yang ayah maksudkan. Kamu ini anak lelaki kami. Sekiranya kamu bernikah dan menjadi suami, kamu tetap tertakluk pada kata-kata seorang ibu. Kamu tetap wajib mengikut kata ibu, dan kamu tetap wajib membela kami. Tetapi lihatlah diri kamu sekarang, hanya kerana cinta sahaja kamu sudah berani melawan ayah. Tidakkah kamu tahu hukum anak derhaka? Ayah bertanyakan persoalan-persoalan itu bukan mahu menguji pengetahuan kamu, tetapi mahu menguji hati kamu. Lalu lihatlah, belum apa-apa kamu tanpa sedar sudah mahu berkeras suara dengan ayah. Ayah tahu, sekolah ayah tidak tinggi, ilmu agama ayah kurang tetapi saya tetap ayah kamu, yang tahu siapa kamu. Namun sekiranya kamu tetap mahu bernikah, ayah benarkan kerana ayah tidak mahu kamu menjadi anak derhaka, ayah mahu kamu membina pernikahan yang mendapat restu. Namun ayah mohon, sekiranya kamu bersabar untuk beberapa tahun lagi, ayah dan ibu pasti lebih gembira.”

Kata-kata ayah itu menyentak hati saya. Cepat-cepat saya beristighfar kerana tanpa sedar saya sudah hampir menentang ayah sendiri.

“Tetapi bagaimana dengan perempuan itu? Sanggupkah dia menunggu?” soal saya dengan nada yang gusar.

Ayah kembali tersenyum.

“Anakku, sekiranya kamu bernikah kerana takutkan maksiat, ayah takut kamu belum bersedia. Tetapi apabila kamu bernikah kerana mahu mendapatkan redha Allah dengan menjauhi maksiat, itu yang sebaik-baiknya. Tadi, ayah tidak sekalipun mendengar hujah kamu mahu mendapatkan redha Allah. Yang lebih menakutkan ayah, subuh kamu pun masih dikejutkan ibu, pakaian kamu masih dibasuh oleh ibu, dan pelajaran kamu pun masih kamu malas-malaskan. Hairannya, nikah pula yang kau rajinkan. Sekiranya sahajalah, kamu ini rajin serba-serbi, tidak ada masalah untuk ayah lepaskan kamu kerana kamu tahu keutamaan kamu.”

“Selepas nikah saya akan menjadi rajin. Saya akan bertambah dan lebih tanggungjawab kerana saya sedar saya sudah menjadi ketua keluarga,” pujuk saya lagi.

“Kamu masih menjadi 'anak yang ditanggung', belum lagi menjadi 'anak lelaki'. Besar bezanya anak yang ditanggung dengan anak lelaki. 'Anak yang ditanggung' bukan bermakna ditanggung belanjanya tetapi bermaksud 'tanggungjawab' kamu pun ayah dan ibu yang perlu tentukan dan susun. Itulah yang ayah maksudkan kamu belum bersedia. Kamu belum mampu berdikari daripada segi menyusun keutamaan tanggungjawab. Anak lelaki pula walaupun masih belajar dan ditanggung oleh ibu bapanya, mereka lebih tahu keutamaan tanggungjawab mereka. Tahu mana yang perlu diutamakan dan mana tidak. Sekiranya kamu sudah menjadi anak lelaki, barulah kamu mampu menjadi suami yang baik. Dan menjadi anak lelaki dimulakan dengan menjadi anak yang baik, anak yang mendengar kata dan berani ditegur.”

“Tetap bagaimana dengan perempuan itu?” saya masih keliru.

“Sekiranya kamu mahu bertunang dahulu, ayah tidak ada masalah. Namun sekiranya perempuan itu tidak mahu, bermakna dia bukanlah perempuan yang baik untuk kamu, mungkin dia lebih baik untuk orang lain. Yang pasti, dia juga jelas belum bersedia menjadi isteri kepada lelaki seperti kamu. Dia perlukan lelaki yang lebih tabah dan baik daripada kamu kerana buat masa ini, kamu belum bersedia lagi. Jadi, susun dahulu keutamaan kamu, dan sekiranya kamu sudah menjadi 'anak lelaki', bulan hadapan pun kamu boleh bernikah. Tetapi menjadi anak lelaki itu bukan kerja sebulan dua. Ia kerja bertahun-tahun.”

Ayah mengakhiri hujahnya dengan senyuman, dan senyuman itu membuatkan saya pedih hati, namun tetap sahaja saya gembira kerana setidak-tidaknya saya tahu, ayah tidak pernah lepas tangan bagi melihat kebahagiaan saya. Tetapi tetap sahaja saya resah. Bagaimana dengan buah hati saya?Aduh...

Wednesday, April 25, 2012

Jangan Pernah Lupa Doakan Ibu

                                                    


Bunyi senapang sudah menggila. Sesekali ada peluru yang menembusi daun tingkap, membuat lubang pada dinding rumah. Sesekali bumi bergegar, dan debu-debu menyeruak ke ruangan rumah yang kecil.

Salwa, anak perempuan yang baru berumur enam tahun semakin kuat memeluk ibunya, dan ibunya semakin kuat memeluk Salwa.

“Ibu, Salwa takut,” rintih Salwa. Yang tersudut di penjuru rumah kecil, berdinding tanah liat keras dan berbumbung genting nipis.

Ibunya terus memeluk erat sambil mengusap-usap kepalanya.

“Tenang sayang. Jangan takut.” Hanya itulah kata-kata yang mampu ibunya berikan kepada Salwa. Selain itu, semua kata-katanya sudah hilang daripada fikirannya.

Bang! Satu peluru sesat mengenai gambar keluarga yang tergantung. Pecah lalu terhempas ke lantai. Serentak itu ibu Salwa semakin memeluk Salwa erat. Serentak itu juga, tangis Salwa sudah tidak mampu ditahan-tahan.

“Jangan menangis sayang.” Ibu Salwa terus memujuk.

“Ibu, Salwa takut!” Sekali lagi, hanya itu yang Salwa tahu.

Untuk ibu Salwa, tidak ada apa lagi yang mampu diucap, selain hanya menguatkan pelukan, dan mengulang perkataan sabar. Dadanya sendiri sudah bergegar. Bunyi tembakan semakin menggila.

“Ayah mana? Salwa takut!” soal Salwa sambil air matanya mengalir deras.

Ibu Salwa hanya diam. Tidak tahu bagaimana dia mahu menjawab soalan itu. Yang dia tahu, bunyi senapang semakin meriah, semakin terasa dekat. Akhirnya, ibu Salwa ikut menitik air mata dan pada ketika itulah bunyi tembakan berhenti. Ibu Salwa terus memasang telinga dengan hati yang sudah berdenyut-denyut mahu pecah. Dan pada ketika itulah pintu rumah mereka pecah terkopak.

Dua lelaki berpakaian tentera dengan mata merah menghalakan senjata ke arah Salwa dan ibunya.

“Pengkhianat!” jerit tentera dengan suara yang sudah sama gemanya dengan bunyi senjata.

Hati Salwa berdetak kuat. Tangisnya semakin lebat.

“Tuan, tolong jangan bunuh kami. Kami tidak buat apa-apa,” rayu ibu Salwa, penuh harap dengan tangan yang memohon ampun.

“Kami akan bunuh semua keluarga pengkhianat! Suami kau pengkhianat, kau pun pengkhianat!” Tentera itu semakin hampir kepadanya dengan senjata yang sudah sedia ditarik picunya.

“Kalau mahu bunuh, bunuh sahaja saya. Tolong jangan bunuh anak saya,” rayu ibu Salwa lagi, lebih bersungguh-sungguh sehingga tidak peduli lagi air mata yang sudah berjurai-jurai.

“Pergi jahanam! Semuanya akan aku bunuh!” pekik tentera itu, dan jarinya sudah ditarik 10 peratus dan ketika itulah, rakannya segera menghalang.

“Takkan kita mahu biarkan semudah itu pengkhianat ini mati!” kata rakannya keras dengan senyuman jahat tersungging di bibirnya.

“Jadi?” Tentera yang sudah mabuk darah bertanya dengan hati yang tidak puas. Masakan tidak, senapang sudah sedia memuntahkan peluru, tiba-tiba dihalang nikmatnya.

“Kita seksa mereka.”

Serentak itu, tentera itu mengeluarkan bom tangannya. Dengan wajah yang tersenyum semakin jahat dia berkata, “Biar mereka anak beranak mati di dalam rumah ini.”

Rakan ikut tersenyum jahat, sebelum ketawa yang membuatkan Salwa semakin memeluk erat ibunya. Ibu Salwa hanya tunduk melindungi Salwa dengan tubuhnya. Hanya itu yang dia mampu fikir dan perbuat.

Kedua-dua tentera itu segera keluar dari rumah dan pada ketika ketawa mereka sudah sayup-sayup, sebutir bom bergolek masuk dari depan pintu rumah.

“Ya, Allah!” Itulah kata-kata akhir yang Salwa dengar daripada ibunya, sebelum kedengaran bunyi yang maha kuat, diikuti pandangannya yang sudah gelap.

Salwa tidak tahu, berapa lama sebelum dia membuka mata dan melihat ibunya sedang dalam posisi merangkak, dengan tangan dan kakinya menopang tubuh, dan Salwa berada di bawah tubuh ibunya. Terlindung daripada serpih atap-atap rumah yang menimpa, terhindar daripada serpih-serpih dinding yang runtuh.

Salwa hanya memerhatikan ibunya yang sudah bergetar tubuhnya. Dan darah menitik daripada sekujur tubuh ibunya.

“Ibu!” Salwa cuba memeluk ibunya tetapi keadaan yang sempit, hanya memboleh Salwa mengusap-usap wajah ibunya yang penuh debu dan darah.

“Salwa, alhamdulillah, kamu selamat sayang,” kata ibu Salwa lembut tetapi penuh pedih.

“Ibu!” jerit Salwa. Hanya itu yang dia tahu dan mampu fikir kerana memang hanya itulah dunia Salwa, ibunya.

“Sayang, nanti kamu akan hidup seorang diri. Tidak akan ada orang lagi sikatkan rambut kamu, tidak akan ada lagi pakaikan baju kamu, tidak akan ada lagi suapkan kamu. Semuanya kamu perlu buat sendiri. Jangan takut, itu semua kamu boleh buat. Kamu anak ibu yang pandai dan berani.”

Ibu Salwa berkata dengan darah menitik dari mulut. Walau suara sangat perih, tetap juga dia memaksa suara keluar dari kerongkongnya.

“Ibu!” Salwa sekali lagi menjerit, menangis.

“Sayang, ingat pesan ibu baik-baik. Apapun yang terjadi, sabarlah. Jangan hilang sabar kerana selepas ini, tidak akan ada orang lagi yang sangat bersabar kepadamu, selain diri kamu sendiri.”

“Ibu!” Salwa menjerit lagi.

“Sayang, jaga diri. Jangan pernah lupa doakan ibu....” Ibu Salwa semakin perlahan suaranya... dan kemudiannya hanya terdengar bunyi halus... “Lailahaillahlah....”

“Ibu......!” Dan tangis Salwa semakin panjang.....

30 tahun kemudian.

“Ibu, ini kubur siapa?” soal seorang anak perempuan, yang mungkin umurnya lima tahun, yang ikal halus rambutnya hingga menutup mata, kerana sudah jatuh klip rambutnya entah di mana-mana.

Perempuan yang dipanggil ibu itu tersenyum lalu terus memeluk anak perempuan itu. Memeluk erat-erat.

“Ibu sakit!” kata anak perempuan itu sambil cuba lepas daripada pelukan ibunya.

“Maaf... ibu tidak sengaja.”

Ibunya tetap memeluk tetapi sudah longgar.

“Ibu, ini kubur siapa?”

“Ini kubur nenek kamu,” jawab perempuan itu, sebak.

“Nenek?”

Akhirnya anak perempuan itu kembali dipeluk erat ibunya.

“Dahulu, nenek kamu berpesan kepada ibu, jadilah orang yang bersabar kerana tidak akan ada orang lagi bersabar ke atas kamu selain diri kamu.”

“Apa ibu cakap? Saya tidak faham,” soal anak perempun itu yang dengan hati-hati cuba melepaskan diri daripada pelukan erat.

“Memang kamu tidak akan faham sekarang, tetapi kamu akan faham pada ketika kamu seusia ibu.” Sudah ada air mata yang berkolam di pelupuk mata ibu itu.

“Kalau ibu faham, apa maksudnya?” Anak kecil itu masih belum mampu lepas daripada pelukan ibunya.

Ibu itu diam 30 saat sebelum dapat menghilangkan sebak dan dia berkata sesuatu yang sebenarnya ditujukan untuk dirinya. Ya, memang untuk dirinya kerana dia yakin anaknya itu pasti tidak mengerti.

“Orang yang paling bersabar dengan diri kita adalah ibu kita. Tidak akan kita temui lagi orang yang sesabar ibu kita. Malah, pada saat kita tidak sabar dengan diri kita, ibu kita yang datang meminjamkan sabarnya. Malah sabarnya ibu kita itulah yang menjami sabarnya Allah dengan kita. Pada ketika ibu sudah hilang sabar dengan anaknya, hilanglah redha ibu, maka hilanglah juga redha Allah.”

“Saya tidak faham!” Anak kecil itu merengek meminta lepas. Sudahlah dikepung dengan pelukan ibunya, kini dia dikepung pula fikiran dengan kata-kata ibunya yang panjang.

“Nanti-nanti kamu fahamlah,” jawab ibu itu tersenyum lalu mengesat air matanya yang bertakung sebelum menyambung, “Buat masa ini, cukuplah kamu faham, ibu sangat sayangkan kamu.”

Anak kecil itu berhenti meminta lepas. Dia memandang ibunya sebelum memeluk leher ibunya dan berkata, “Saya juga sayangkan ibu.”

“Kalau sayangkan ibu, kamu jangan pernah lupa doakan ibu.” Si ibu melepaskan pelukan selepas memberikan satu ciuman pada pipi anaknya.

“Saya sentiasa doakan ibu.” Si anak berkata dengan wajah serius.

“Betul?” Si ibu terus mengusik.

“Betul. Dengar ini,” kata si anak lalu menadahkan tangannya lalu berdoa, “Ya, Allah, sayangi ibu saya sebagaimana dia sayangi saya. Ya, Allah, jangan beri dia susah kerana dia yang selalu ubatkan saya kalau saya sakit, beri saya makan, sikat rambut saya dan pakaian saya baju. Ya, Allah saya sayang ibu saya.”

Ibu itu tergelak kecil, dan serentak pelupuk matanya kembali berkolam.

Friday, April 20, 2012

Kisah Manis Hati Anakanda

                                                 


Mata Amira sudah merah, dan ada surat di tangannya. Entah beberapa kali Amira membaca surat itu, tetapi setiap kali membacanya, pada setiap kali itu juga hati Amira umpama dirayapi semut merah yang bisa.

Amira sekali lagi membaca surat di tangannya.

Assalamualaikum,

Apa khabar anakanda di sana? Ayah doakan semoga anakanda ceria semasa membaca surat ini. Maafkan ayah kerana masih ketinggalan zaman. Perkara yang sepatutnya diberikan melalui e-mel, ayah hantarkan melalui surat. Salah ayah juga kerana tidak bertanya e-mel baru anakanda.

Ringkaslah ceritanya, ayah sudah tahu kisah anakanda daripada bonda. Kisah manis hati anakanda. Namun janganlah anakanda khuatir sehingga surat ayah ini anakanda berhenti baca, kerana ayahanda bukanlah mahu marah, bukan juga mahu mengarah-ngarah anakanda yang sudah dewasa, melainkan ayah cuma mahu bercerita kepada anakanda berkenaan apa dalam hati ayah ini.

Ayah yakin dan sangat percaya, anakanda adalah anak yang solehah, yang taat kepada agama. Namun pada usia anakanda, ayah juga tahu suatu perkara, anakanda dalam diam sedang berperang dengan perasaan di dalam dada.

Ayah khuatir betul dengan perkara yang namanya cinta. Walaupun sudah ayahanda jelaskan, dan walaupun puas bonda terangkan kepada anakanda berkenaan cinta, pasti ada ketika hati anakanda terdetik juga mahu mencuba apa rasanya cinta, dan ayah tahu sudahlah datang waktu itu kepada anakanda.

Janganlah salahkan bonda kerana memberitahu ayah, tetapi ayah jugalah yang salah kerana setiap hari ayah bertanya tentang kamu daripada bonda. Bonda kamu itu sangat taat kepada ayah, dan tidak mungkinlah dia mampu merahsiakan sesuatu pun daripada ayah.

Ingat lagi ayah, pada ketika anakanda baru empat tahun dan anakanda mahu membeli belon warna merah. Ayah belikan dan anakanda sangat gembira. Anakanda terus berlari-lari dengan belon merah di tangan sambil ketawa riang. Malangnya, belon anakanda pecah tergeser daun lalang. Anakanda menangis, dan ayah sekuat hati memujuk anakanda dan waktu itu walaupun anakanda sangat kecewa, marah dan sedih tetapi tetap juga anakanda terpujuk dengan kata-kata ayah. Terpujuk apabila ayah mengangkat anakanda tinggi dan meletak anakanda pada bahu ayah. Anakanda gembira, dan tangisan pun mereda.

Namun kini, apa yang ayah takutkan semasa anakanda umur empat tahun, terjadi lagi. Bukan lagi belon yang pecah tetapi akankah hati anakandayang pecah? Itulah yang ayah khuatirkan tentang anakanda, pada ketika umur anakanda sudah tidak memungkin ayah meletak anakanda pada bahu ayah, itu juga bermakna anakanda tidak mungkin lagi terpujuk.

Itulah cinta sebelum nikah, ia seperti belon merah yang anakanda inginkan semasa kecil. Ia lembut, ia menggoda dan ia nampak manis. Namun hakikatnya, ia sangat nipis, dan banyak perkara mampu membuatnya pecah pada ketika anakanda membawanya berjalan di jalan penuh lalang.

Ayah, berharap tahan-tahan dahulu perasaan kamu itu. Jangan ditunjuk kepada si lelaki sehingga anakanda terlihat murah. Sekiranya anakanda mampu menahan rasa rindu kepada bonda dan ayah di sini, apalah sangat menahan rasa suka kepada lelaki yang entah siapa.

Banyakkan ingat Allah sayang. Banyakkan menyebut namanya. Berzikirlah, bertahmidlah, bertasbihlah dan bertakbirlah. Banyakkan membaca ayat-ayat-Nya. Kerana hanya kepada Dia anakanda dapat bergantung dengan sepenuh hati selepas ayah dan bonda jauh dari anakanda.

Janganlah pula anakanda menyangka ayah ini kolot orangnya sehingga tidak mahu anakanda bercinta. Tidak salah anakanda bercinta, cuma bagi setiap perkara akan ada masanya yang tepat. Seperti embun yang lembut, tidaklah ia turun ketika matahari sudah tegak di kepala, tidak juga turun pada ketika matahari condong ke barat, ia turun pada waktunya yang tepat, walaupun singkat tetapi itulah yang terindah untuknya.

Sedangkan embun di hujung daun pun punya waktu, apatah lagi cinta yang lebih besar daripada itu. Sekiranya anakanda bertanya, bila waktu yang tepat untuk yang bernama cinta? Jawab ayah, pada ketika semuanya sudah bersedia.

Cinta itu anakanda, bukan sekadar hati yang bersedia menerima dan memberi tetapi, fikiran juga perlu bersedia, emosi perlu bersedia, fizikal perlu bersedia, dan paling utama, adakah pasangan anakanda itu juga sudah bersedia untuk semuanya? Bersedia menerima dan memberi? Pada ketika hanya hati yang bersedia, pada ketika itulah cinta itu umpama belon yang mudah pecah.

Pada ketika anakanda sudah tidak mampu menahan rasa hati, ingatlah anakanda ayah dan bonda di sini. Jaga air muka kami dengan menjaga air muka anaknda, jaga maruah kami dengan menjaga maruah anakanda, dan jaga akhirat kami dengan menjaga akhirat anakanda. Ingat jugalah, jodoh itu terkadang datang lebih awal daripada cinta.

Sekiranya anakanda berasa surat ayah ini sudah keterlaluan, ketahuilah, ayah memang keterlaluan dalam soal sayang dan kasih kepada anakanda. Sayang ayah dan bonda kepada anakanda, keterlaluan sepertinya matahari yang terik, bukannya seperti matahari pagi tidak juga seperti matahari senja.

Sekiranya keterlaluan sayang dan kasih itu salah untuk anakanda, maafkan ayah kerana ayah tidak mampu untuk mengurangkannya. Tidak mampu walaupun sekuman. Baik buruk anakanda, anakanda tetaplah permata dalam hati ayah. Kerana anakanda sudah memegang hati kecil ayah ini sehinggalah saat ayah mati, sedang ayah hanya mampu memegang tangan anakanda semasa anakanda masih kecil.

Akhir kata, semoga anakanda sudah mengerti sedikit hati ayah. Tidak banyak, sedikit pun itu sudah membuat ayah tersenyum. Jadi jaga diri anakanda, kerana ayah dan bonda sudah setiap waktu mendoakan kesejahteraan anakanda dengan air mata. Sekiranya tidak mungkin ayah memegang dan memimpin tangan anakanda sekarang, izinkan ayah memegang dan memimpin anakanda dalam doa ayah.

Salam sayang,
Ayah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...