Saturday, August 24, 2013

Kahwin Muda?

Assalamualaikum...

Sebenarnya dah lama saya nak tulis bab ni...cuma belum cukup idea untuk menulis...okay..sekarang saya rasa..saya dah bersedia untuk menulis bab ni...sebelum tu..saya hendak memberitahu yang ini hanyalah pandangan saya..jika tidak boleh terima silalah tegur dengan cara sopan ye..insyaallah saya boleh terima :)

Sekarang ni saya rasa dah ramai sangat remaja yang ingin berkahwin dalam usia yang muda..setiap hari saya tengok di facebook majoriti remaja update status tentang kahwin..sedangkan usia mereka baru belasan tahun..jadi..saya rasa..ada beberapa perkara yang mereka perlu fikir sebelum berkahwin.

         
                 


Secara peribadinya, saya bukanlah tidak setuju dengan perkahwinan pada usia yang muda. Memang tidak dinafikan yang ada juga baiknya berkahwin dalam usia yang muda ini, Dan ramai juga yang telah berjaya mengharungi perkahwinan itu dengan baik. Alhamdulillah Allah telah memberi nikmat dan kita harus bersyukur dengan nikamatnya.

Walau bagaimanapun, saya ada pandangan tersendiri terhadap perkahwinan di usia muda ini. Bagi mereka yang masih muda tapi sudah matang dari segi perwatakan dan matang dari segi fikiran serta bagus ilmu agamanya. Saya rasa tiada masalah untuk mereka kahwin malah saya setuju jika mereka mahu kahwin. Sebab saya yakin yang mereka mampu memikul tanggungjawab dan amanah itu dengan baik.

Tapi, saya sangat risau jika mereka yang masih belum matang dari segi perwatakan dan fikiran dan masih kurang ilmu agamanya yang hendak berkahwin. Mungin kerana pengaruh dari rakan-rakan yang lain atau mungkin atas sebab-sebab yang lain. Jadi, sebenarnya mereka ini belum cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab masing-masing setelah bergelar suami isteri nanti. Bimbang mereka gagal mengemudi rumahtangga mereka dengan baik.

Matang adalah satu benda yang sangat penting untuk mendirikan rumahtangga. Mungkin ada yang berkata "alah..nanti bila aku dah kahwin..confirmla aku berubah jadi matang". Bagi saya, saya sangat tidak bersetuju dengan ayat ini kerana kematangan bukanlah boleh diukur dengan perkahwinan. Kematangan manusia berbeza-beza dan ia bukan diukur oleh perkahwinan. Ramai je yang dah lama kahwin tapi perwatakan masih seperti remaja.

Dan pada pendapat saya, masalah yang paling susah untuk mereka yang ingin berkahwin muda ini adalah masalah "hati". Kenapa saya cakap masalah hati adalah masalah yang paling susah untuk hadapi? Awal-awal perkahwinan memang la manis. Tapi bila lepas dua atau tiga tahun. Adakah dia masih manis seperti baru kahwin? Okay, mari saya membawa anda semua berfikir. Contoh la anda berkahwin umur 17. Cuba anda bayangkan berapa jauh lagi perjalanan yang anda harus jalani. Dan contoh pada usia anda 20 anda ada masalah dengan pasangan anda, sampaikan tak bertegur sapa sesama sendiri. Dan pada waktu tu juga ada pihak ketiga yang sangat mengambil berat tentang anda, dia caring pasal anda, dia selalu ada bila anda susah, dia sanggup dengar semua masalah anda. Dan bila dah kenal hati budi masing-masing dia ajak anda berkahwin pula dengan dia. Adakah anda mampu nak menolak pelawaan itu? Ataupun mungkin anda juga telah jatuh hati kepada dia? Maklumlah, usia muda lagi kan, jadi tak mustahil benda ni boleh berlaku. Jadi, jika anda pilih untuk berkahwin dengan dia, bagaimana dengan pasangan anda sekarang? Hendak ceraikan ke? Nak madukan(bagi lelaki) ke? jadi, memang susah kan nak buat pilihan? dan perlu juga saya sebut yang bukannya orang yang ada masalah je yang kena penyakit "hati" ni. Orang yang takda masalah dalam rumahtangga pun kena juga. Mungkin dia jumpa orang yang lagi perfect dari pasangan dia sekarang. Jadi, tak mustahil dia akan berubah hati kan?

Dan jika bagi lelaki yang ingin berkahwin muda, saya rasa ada beberapa perkara yang anda perlu perbaiki sebelum berkahwin. Yang pertama adalah "ego" anda, ya memang fitrah setiap lelaki ada ego, jika lelaki tidak ada ego dayus la dia. Tapi, bila dah berkahwin ni, anda perlu mengawal sikap ego anda, takkanlah anda nak semua pilihan ditentukan oleh anda? mesti la kena ada sifat beralah sikit. Yang kedua pula adalah "panas baran". Kalau panas baran anda pun anda tak mampu nak kawal adakah anda fikir anda mampu nak kawal isteri anda? Dan masalah takkan boleh selesai dengan marah atau pukul, jika nak selesaikan masalah bawalah bincang elok-elok, bukannya ikut panas baran sendiri. Betul tak?

Jadi, saya rasa cukuplah sekadar ni dulu saya tulis. Oh ye, kenapa saya tulis pasal lelaki lebih dari wanita? Sebab lelaki yang akan menjadi ketua keluarga, jadi lelaki yang perlu membentuk isterinya. Sebab tu lelaki perlu bersedia lebih dari perempuan untuk berkahwin kerana banyak amanah yang lelaki perlu pikul selepas kahwin.

Akhir kata, jodoh itu semua ditangan Allah. Kita sebagai manusia hanya mampu berusaha mencari jodoh yang terbaik dan merancang setiap perkahwinan masing-masing. Soal kahwin awal atau lewat itu semua ditangan Allah. Jika dah sampai jodoh kita, janganlah takut untuk berkahwin kerana insyaallah Allah akan permudahkan urusan kita. :D

Tuesday, May 8, 2012

cerpen - Bagaimana Dengan Buah Hati Saya

 Saya adalah anak lelaki yang bongsu. Masih belajar pada tahun kedua di universiti. Saya juga adalah lelaki yang sudah punyai kekasih hati yang cantik, pintar dan menjaga diri. Saya tahu, umur saya masih muda, tetapi saya juga tahu cinta saya itu perlu segera dicepatkan dengan bernikah.

Kepada ibu sudah saya beritahu tentang hasrat hati mahu bernikah muda, dan dia cuma berkata, “Tanyalah ayah kamu.” Lalu yakin saya bertambah, kerana menganggap itulah restu ibu. Namun pada ketika saya memaklumkan hasrat hati kepada ayah, terjadi sesuatu yang membuatkan saya resah.

Sofa putih. 

Mahu menikah dengan siapa, ayah tidak pernah kisah dan dia yang pada ketika itu duduk di sofa putih memberitahu dengan ayat yang mudah, “Saya yakin dengan kamu. Kamu anak yang baik dan pasti punyai pilihan yang baik.”

Namun pada ketika persoalannya adalah, mahu menikah bila, ayah menjadi sebaliknya. Katanya mula memeningkan, “Ada sebabnya Tuhan menjadikan manusia itu secara bertahap. Terlentang, merangkak, bertatih dan barulah berlari dan kemudiannya ia akan kembali berjalan, bertatih, merangkak dan akhirnya terlentang mati. Itu yang cuma nampak pada fizikal, tetapi hati juga bertahap. Ia juga merangkak, bertatih, berjalan, berlari dan kemudiannya kembali berjalan, bertatih, merangkak dan akhirnya diam mati. Itu semua menyangkut hal keutamaan. Mana yang perlu didahulukan dan mana yang tidak. Jadi, hal nikah itu bukan sahaja kamu perlu sesuaikan dengan tahap fizikal kamu, tetapi perlu sesuaikan dengan tahap hati kamu.”

Saya menjadi tidak setuju. Segala hujah segara saya keluarkan. Hujah nikah khitbah, hujah orang zaman dahulu bernikah pada umur belasan, hujah bagi membendung maksiat, dan pelbagai lagi hujah lain. Saya menjadi berani. Semuanya kerana cinta saya kepada perempuan itu menyala-nyala dan pasti setiap halangan akan tetap saya tempuhi.

Lalu ayah hanya tersenyum. Katanya, “Anakku, itu semua betul tetapi ia cuma betul pada ketika tarikhnya juga betul. Tarikh di sini adalah persediaan hati kamu. Saya ini, ayah kamu dan saya tahu kamu belum bersedia.”

“Saya sudah bersedia. Saya sudah mengaturkan segalanya. Saya akan nikah khitbah dahulu, saya akan berusaha menghabiskan pelajaran di samping bekerja sambilan. Tidak lama, cuma tiga tahun dan selepas itu semuanya akan kembali mudah. Namun paling utama, hati anakmu ini tenang, dan terjauh daripada dosa besar.” Itu hujah saya, hujah yang saya sudah sediakan tiga hari sebelum dengan membaca banyak sekali fakta berkenaan nikah muda.

Ayah tetap juga tersenyum dan berkata, “Anakku, sekiranya niat kamu bernikah mahu mengelakkan maksiat, ketahuilah, kamu mempunyai peluang bagi terjebak dengan cinta lain dengan perempuan lain atas dasar nafsu. Lalu apa selepas itu? Kamu akan nikah lagi dan bagaimana dengan isterimu? Sekiranya isterimu setuju, alhamdulillah tetapi berapa ramai perempuan begitu di dunia ini? Pasti tetap cemburu, hubungan menjadi dingin, lalu bagaimana dengan anak-anak kamu? Bagaimana dengan keluarga kamu?”

Persoalan yang ayah lontarkan itu membuat saya semakin tidak senang.

“Ayah, saya hormati penerangan ayah. Tetapi bagaimana dengan hati kami? Pasti ayah juga tahu, cinta dan rindu itu ubatnya hanyalah nikah. Apa yang perlu saya buat? Ayah mahu melihat saya menderita kerana cinta?” rayu saya.

“Seperti yang ayah sudah beritahu, kamu anak yang baik dan pasti boleh lebih baik daripada sekadar itu. Menderita kerana cinta? Itu memang pasti berlaku, tetapi bukan kepada engkau, anakku. Ayah tahu kamu boleh menderita yang lebih perlu daripada sekadar menderita kerana cinta. Menderita kerana takut kepada dosa, menderita kerana berbuat dosa, menderita melihat kesusahan orang lain dan seumpamanya.”

Pantas saya menjawab saya menderita kerana saya takut terjerumus pada dosa besar. Saya menderita kerana takut jatuh ke dalam fitnah.

Kali ini senyuman ayah tidak nampak lagi, dan saya yakin saya sudah memenangi hatinya. Namun tetap juga saya tahu, ayah tetap mahu berkata sesuatu.

“Anakku, jelas hati kamu belum bersedia. Saya ini ayah kamu, tetapi kamu sendiri belum mampu meyakinkan ayah berkenaan rancangan nikah kamu selain hujah kamu takut dosa. Nikah itu bukan sekadar kamu takutkan dosa. Sekiranya kamu benar-benar takutkan dosa, solat sunat kamu akan bertambah, bukannya dengan memilih jalan pintas iaitu nikah. Jelas sekali, kamu menikah kerana hanya mahu memuaskan nafsu kamu. Selepas itu apa? Bagaimana dengan psikologi kamu? Adakah kamu sudah bersedia menjadi suami? Adakah buah hati kamu sudah bersedia menjadi isteri? Lalu bagaimana dengan keluarga si perempuan itu? Adakah dia yakin kepada kamu yang masih berada dalam tanggungan ayah?”

Soalan-soalan ayah itu membuatkan hati saya semakin dijerut. Ayah sepertinya tidak tahu maksud sebenar saya. Kami sepertinya berbual bukan pada landasan yang sama lalu tidak mungkin akan bertemu. Saya berbicara berkenaan nikah atas mahu menghalalkan hubungan tetapi dia, hanya melihat pada kemampuan ekonomi saya. Sesuatu yang lebih ringan berbanding dosa besar tadi.

“Sekiranya ayah tetap tidak setuju, saya tetap akan teruskan juga. Lagi pula saya sudah menanggung dosa saya sendiri. Sekiranya saya terjebak dalam dosa, saya juga yang neraka. Jadi saya nekad.” Itulah jawapan saya. Jawapan yang bukan mahu kurang ajar tetapi mahu memberitahu, saya tahu dengan apa yang saya buat dan saya tegas dalam perkara itu.

Ayah tidak berlengah memberi hujah.

“Tidak salah sekiranya kamu bernikah semasa kamu masih belajar dan kamu masih belum bekerja. Yang salah adalah diri kamu belum bersedia. Itulah maksud ayah, iaitu kamu perlu sesuaikan aktiviti kamu dengan keadaan hati kamu mengikut keutamaan. Kamu tidak boleh terus berlari sekiranya kamu masih bertatih. Sekarang ini, kamu masih bertatih dalam ilmu keluarga, dan kamu terus mahu berlari bagi bernikah. Itu tidak betul kerana tidak mengikut keutamaan. Hati kamu sekarang, adalah hati yang hanya mahu seronok-seronok, mahu yang nampak 'sweet', tetapi belum bersedia dengan yang namanya tanggungjawab.”

“Itu ayah jangan risaukan. Saya ini cepat belajar, dan saya tetap mahu bernikah!” Saya semakin tegas, dengan nada yang juga tegas.

Ayah pula segera memegang tangan saya.

“Itulah yang ayah maksudkan. Kamu ini anak lelaki kami. Sekiranya kamu bernikah dan menjadi suami, kamu tetap tertakluk pada kata-kata seorang ibu. Kamu tetap wajib mengikut kata ibu, dan kamu tetap wajib membela kami. Tetapi lihatlah diri kamu sekarang, hanya kerana cinta sahaja kamu sudah berani melawan ayah. Tidakkah kamu tahu hukum anak derhaka? Ayah bertanyakan persoalan-persoalan itu bukan mahu menguji pengetahuan kamu, tetapi mahu menguji hati kamu. Lalu lihatlah, belum apa-apa kamu tanpa sedar sudah mahu berkeras suara dengan ayah. Ayah tahu, sekolah ayah tidak tinggi, ilmu agama ayah kurang tetapi saya tetap ayah kamu, yang tahu siapa kamu. Namun sekiranya kamu tetap mahu bernikah, ayah benarkan kerana ayah tidak mahu kamu menjadi anak derhaka, ayah mahu kamu membina pernikahan yang mendapat restu. Namun ayah mohon, sekiranya kamu bersabar untuk beberapa tahun lagi, ayah dan ibu pasti lebih gembira.”

Kata-kata ayah itu menyentak hati saya. Cepat-cepat saya beristighfar kerana tanpa sedar saya sudah hampir menentang ayah sendiri.

“Tetapi bagaimana dengan perempuan itu? Sanggupkah dia menunggu?” soal saya dengan nada yang gusar.

Ayah kembali tersenyum.

“Anakku, sekiranya kamu bernikah kerana takutkan maksiat, ayah takut kamu belum bersedia. Tetapi apabila kamu bernikah kerana mahu mendapatkan redha Allah dengan menjauhi maksiat, itu yang sebaik-baiknya. Tadi, ayah tidak sekalipun mendengar hujah kamu mahu mendapatkan redha Allah. Yang lebih menakutkan ayah, subuh kamu pun masih dikejutkan ibu, pakaian kamu masih dibasuh oleh ibu, dan pelajaran kamu pun masih kamu malas-malaskan. Hairannya, nikah pula yang kau rajinkan. Sekiranya sahajalah, kamu ini rajin serba-serbi, tidak ada masalah untuk ayah lepaskan kamu kerana kamu tahu keutamaan kamu.”

“Selepas nikah saya akan menjadi rajin. Saya akan bertambah dan lebih tanggungjawab kerana saya sedar saya sudah menjadi ketua keluarga,” pujuk saya lagi.

“Kamu masih menjadi 'anak yang ditanggung', belum lagi menjadi 'anak lelaki'. Besar bezanya anak yang ditanggung dengan anak lelaki. 'Anak yang ditanggung' bukan bermakna ditanggung belanjanya tetapi bermaksud 'tanggungjawab' kamu pun ayah dan ibu yang perlu tentukan dan susun. Itulah yang ayah maksudkan kamu belum bersedia. Kamu belum mampu berdikari daripada segi menyusun keutamaan tanggungjawab. Anak lelaki pula walaupun masih belajar dan ditanggung oleh ibu bapanya, mereka lebih tahu keutamaan tanggungjawab mereka. Tahu mana yang perlu diutamakan dan mana tidak. Sekiranya kamu sudah menjadi anak lelaki, barulah kamu mampu menjadi suami yang baik. Dan menjadi anak lelaki dimulakan dengan menjadi anak yang baik, anak yang mendengar kata dan berani ditegur.”

“Tetap bagaimana dengan perempuan itu?” saya masih keliru.

“Sekiranya kamu mahu bertunang dahulu, ayah tidak ada masalah. Namun sekiranya perempuan itu tidak mahu, bermakna dia bukanlah perempuan yang baik untuk kamu, mungkin dia lebih baik untuk orang lain. Yang pasti, dia juga jelas belum bersedia menjadi isteri kepada lelaki seperti kamu. Dia perlukan lelaki yang lebih tabah dan baik daripada kamu kerana buat masa ini, kamu belum bersedia lagi. Jadi, susun dahulu keutamaan kamu, dan sekiranya kamu sudah menjadi 'anak lelaki', bulan hadapan pun kamu boleh bernikah. Tetapi menjadi anak lelaki itu bukan kerja sebulan dua. Ia kerja bertahun-tahun.”

Ayah mengakhiri hujahnya dengan senyuman, dan senyuman itu membuatkan saya pedih hati, namun tetap sahaja saya gembira kerana setidak-tidaknya saya tahu, ayah tidak pernah lepas tangan bagi melihat kebahagiaan saya. Tetapi tetap sahaja saya resah. Bagaimana dengan buah hati saya?Aduh...

Wednesday, April 25, 2012

Jangan Pernah Lupa Doakan Ibu

                                                    


Bunyi senapang sudah menggila. Sesekali ada peluru yang menembusi daun tingkap, membuat lubang pada dinding rumah. Sesekali bumi bergegar, dan debu-debu menyeruak ke ruangan rumah yang kecil.

Salwa, anak perempuan yang baru berumur enam tahun semakin kuat memeluk ibunya, dan ibunya semakin kuat memeluk Salwa.

“Ibu, Salwa takut,” rintih Salwa. Yang tersudut di penjuru rumah kecil, berdinding tanah liat keras dan berbumbung genting nipis.

Ibunya terus memeluk erat sambil mengusap-usap kepalanya.

“Tenang sayang. Jangan takut.” Hanya itulah kata-kata yang mampu ibunya berikan kepada Salwa. Selain itu, semua kata-katanya sudah hilang daripada fikirannya.

Bang! Satu peluru sesat mengenai gambar keluarga yang tergantung. Pecah lalu terhempas ke lantai. Serentak itu ibu Salwa semakin memeluk Salwa erat. Serentak itu juga, tangis Salwa sudah tidak mampu ditahan-tahan.

“Jangan menangis sayang.” Ibu Salwa terus memujuk.

“Ibu, Salwa takut!” Sekali lagi, hanya itu yang Salwa tahu.

Untuk ibu Salwa, tidak ada apa lagi yang mampu diucap, selain hanya menguatkan pelukan, dan mengulang perkataan sabar. Dadanya sendiri sudah bergegar. Bunyi tembakan semakin menggila.

“Ayah mana? Salwa takut!” soal Salwa sambil air matanya mengalir deras.

Ibu Salwa hanya diam. Tidak tahu bagaimana dia mahu menjawab soalan itu. Yang dia tahu, bunyi senapang semakin meriah, semakin terasa dekat. Akhirnya, ibu Salwa ikut menitik air mata dan pada ketika itulah bunyi tembakan berhenti. Ibu Salwa terus memasang telinga dengan hati yang sudah berdenyut-denyut mahu pecah. Dan pada ketika itulah pintu rumah mereka pecah terkopak.

Dua lelaki berpakaian tentera dengan mata merah menghalakan senjata ke arah Salwa dan ibunya.

“Pengkhianat!” jerit tentera dengan suara yang sudah sama gemanya dengan bunyi senjata.

Hati Salwa berdetak kuat. Tangisnya semakin lebat.

“Tuan, tolong jangan bunuh kami. Kami tidak buat apa-apa,” rayu ibu Salwa, penuh harap dengan tangan yang memohon ampun.

“Kami akan bunuh semua keluarga pengkhianat! Suami kau pengkhianat, kau pun pengkhianat!” Tentera itu semakin hampir kepadanya dengan senjata yang sudah sedia ditarik picunya.

“Kalau mahu bunuh, bunuh sahaja saya. Tolong jangan bunuh anak saya,” rayu ibu Salwa lagi, lebih bersungguh-sungguh sehingga tidak peduli lagi air mata yang sudah berjurai-jurai.

“Pergi jahanam! Semuanya akan aku bunuh!” pekik tentera itu, dan jarinya sudah ditarik 10 peratus dan ketika itulah, rakannya segera menghalang.

“Takkan kita mahu biarkan semudah itu pengkhianat ini mati!” kata rakannya keras dengan senyuman jahat tersungging di bibirnya.

“Jadi?” Tentera yang sudah mabuk darah bertanya dengan hati yang tidak puas. Masakan tidak, senapang sudah sedia memuntahkan peluru, tiba-tiba dihalang nikmatnya.

“Kita seksa mereka.”

Serentak itu, tentera itu mengeluarkan bom tangannya. Dengan wajah yang tersenyum semakin jahat dia berkata, “Biar mereka anak beranak mati di dalam rumah ini.”

Rakan ikut tersenyum jahat, sebelum ketawa yang membuatkan Salwa semakin memeluk erat ibunya. Ibu Salwa hanya tunduk melindungi Salwa dengan tubuhnya. Hanya itu yang dia mampu fikir dan perbuat.

Kedua-dua tentera itu segera keluar dari rumah dan pada ketika ketawa mereka sudah sayup-sayup, sebutir bom bergolek masuk dari depan pintu rumah.

“Ya, Allah!” Itulah kata-kata akhir yang Salwa dengar daripada ibunya, sebelum kedengaran bunyi yang maha kuat, diikuti pandangannya yang sudah gelap.

Salwa tidak tahu, berapa lama sebelum dia membuka mata dan melihat ibunya sedang dalam posisi merangkak, dengan tangan dan kakinya menopang tubuh, dan Salwa berada di bawah tubuh ibunya. Terlindung daripada serpih atap-atap rumah yang menimpa, terhindar daripada serpih-serpih dinding yang runtuh.

Salwa hanya memerhatikan ibunya yang sudah bergetar tubuhnya. Dan darah menitik daripada sekujur tubuh ibunya.

“Ibu!” Salwa cuba memeluk ibunya tetapi keadaan yang sempit, hanya memboleh Salwa mengusap-usap wajah ibunya yang penuh debu dan darah.

“Salwa, alhamdulillah, kamu selamat sayang,” kata ibu Salwa lembut tetapi penuh pedih.

“Ibu!” jerit Salwa. Hanya itu yang dia tahu dan mampu fikir kerana memang hanya itulah dunia Salwa, ibunya.

“Sayang, nanti kamu akan hidup seorang diri. Tidak akan ada orang lagi sikatkan rambut kamu, tidak akan ada lagi pakaikan baju kamu, tidak akan ada lagi suapkan kamu. Semuanya kamu perlu buat sendiri. Jangan takut, itu semua kamu boleh buat. Kamu anak ibu yang pandai dan berani.”

Ibu Salwa berkata dengan darah menitik dari mulut. Walau suara sangat perih, tetap juga dia memaksa suara keluar dari kerongkongnya.

“Ibu!” Salwa sekali lagi menjerit, menangis.

“Sayang, ingat pesan ibu baik-baik. Apapun yang terjadi, sabarlah. Jangan hilang sabar kerana selepas ini, tidak akan ada orang lagi yang sangat bersabar kepadamu, selain diri kamu sendiri.”

“Ibu!” Salwa menjerit lagi.

“Sayang, jaga diri. Jangan pernah lupa doakan ibu....” Ibu Salwa semakin perlahan suaranya... dan kemudiannya hanya terdengar bunyi halus... “Lailahaillahlah....”

“Ibu......!” Dan tangis Salwa semakin panjang.....

30 tahun kemudian.

“Ibu, ini kubur siapa?” soal seorang anak perempuan, yang mungkin umurnya lima tahun, yang ikal halus rambutnya hingga menutup mata, kerana sudah jatuh klip rambutnya entah di mana-mana.

Perempuan yang dipanggil ibu itu tersenyum lalu terus memeluk anak perempuan itu. Memeluk erat-erat.

“Ibu sakit!” kata anak perempuan itu sambil cuba lepas daripada pelukan ibunya.

“Maaf... ibu tidak sengaja.”

Ibunya tetap memeluk tetapi sudah longgar.

“Ibu, ini kubur siapa?”

“Ini kubur nenek kamu,” jawab perempuan itu, sebak.

“Nenek?”

Akhirnya anak perempuan itu kembali dipeluk erat ibunya.

“Dahulu, nenek kamu berpesan kepada ibu, jadilah orang yang bersabar kerana tidak akan ada orang lagi bersabar ke atas kamu selain diri kamu.”

“Apa ibu cakap? Saya tidak faham,” soal anak perempun itu yang dengan hati-hati cuba melepaskan diri daripada pelukan erat.

“Memang kamu tidak akan faham sekarang, tetapi kamu akan faham pada ketika kamu seusia ibu.” Sudah ada air mata yang berkolam di pelupuk mata ibu itu.

“Kalau ibu faham, apa maksudnya?” Anak kecil itu masih belum mampu lepas daripada pelukan ibunya.

Ibu itu diam 30 saat sebelum dapat menghilangkan sebak dan dia berkata sesuatu yang sebenarnya ditujukan untuk dirinya. Ya, memang untuk dirinya kerana dia yakin anaknya itu pasti tidak mengerti.

“Orang yang paling bersabar dengan diri kita adalah ibu kita. Tidak akan kita temui lagi orang yang sesabar ibu kita. Malah, pada saat kita tidak sabar dengan diri kita, ibu kita yang datang meminjamkan sabarnya. Malah sabarnya ibu kita itulah yang menjami sabarnya Allah dengan kita. Pada ketika ibu sudah hilang sabar dengan anaknya, hilanglah redha ibu, maka hilanglah juga redha Allah.”

“Saya tidak faham!” Anak kecil itu merengek meminta lepas. Sudahlah dikepung dengan pelukan ibunya, kini dia dikepung pula fikiran dengan kata-kata ibunya yang panjang.

“Nanti-nanti kamu fahamlah,” jawab ibu itu tersenyum lalu mengesat air matanya yang bertakung sebelum menyambung, “Buat masa ini, cukuplah kamu faham, ibu sangat sayangkan kamu.”

Anak kecil itu berhenti meminta lepas. Dia memandang ibunya sebelum memeluk leher ibunya dan berkata, “Saya juga sayangkan ibu.”

“Kalau sayangkan ibu, kamu jangan pernah lupa doakan ibu.” Si ibu melepaskan pelukan selepas memberikan satu ciuman pada pipi anaknya.

“Saya sentiasa doakan ibu.” Si anak berkata dengan wajah serius.

“Betul?” Si ibu terus mengusik.

“Betul. Dengar ini,” kata si anak lalu menadahkan tangannya lalu berdoa, “Ya, Allah, sayangi ibu saya sebagaimana dia sayangi saya. Ya, Allah, jangan beri dia susah kerana dia yang selalu ubatkan saya kalau saya sakit, beri saya makan, sikat rambut saya dan pakaian saya baju. Ya, Allah saya sayang ibu saya.”

Ibu itu tergelak kecil, dan serentak pelupuk matanya kembali berkolam.

Friday, April 20, 2012

Kisah Manis Hati Anakanda

                                                 


Mata Amira sudah merah, dan ada surat di tangannya. Entah beberapa kali Amira membaca surat itu, tetapi setiap kali membacanya, pada setiap kali itu juga hati Amira umpama dirayapi semut merah yang bisa.

Amira sekali lagi membaca surat di tangannya.

Assalamualaikum,

Apa khabar anakanda di sana? Ayah doakan semoga anakanda ceria semasa membaca surat ini. Maafkan ayah kerana masih ketinggalan zaman. Perkara yang sepatutnya diberikan melalui e-mel, ayah hantarkan melalui surat. Salah ayah juga kerana tidak bertanya e-mel baru anakanda.

Ringkaslah ceritanya, ayah sudah tahu kisah anakanda daripada bonda. Kisah manis hati anakanda. Namun janganlah anakanda khuatir sehingga surat ayah ini anakanda berhenti baca, kerana ayahanda bukanlah mahu marah, bukan juga mahu mengarah-ngarah anakanda yang sudah dewasa, melainkan ayah cuma mahu bercerita kepada anakanda berkenaan apa dalam hati ayah ini.

Ayah yakin dan sangat percaya, anakanda adalah anak yang solehah, yang taat kepada agama. Namun pada usia anakanda, ayah juga tahu suatu perkara, anakanda dalam diam sedang berperang dengan perasaan di dalam dada.

Ayah khuatir betul dengan perkara yang namanya cinta. Walaupun sudah ayahanda jelaskan, dan walaupun puas bonda terangkan kepada anakanda berkenaan cinta, pasti ada ketika hati anakanda terdetik juga mahu mencuba apa rasanya cinta, dan ayah tahu sudahlah datang waktu itu kepada anakanda.

Janganlah salahkan bonda kerana memberitahu ayah, tetapi ayah jugalah yang salah kerana setiap hari ayah bertanya tentang kamu daripada bonda. Bonda kamu itu sangat taat kepada ayah, dan tidak mungkinlah dia mampu merahsiakan sesuatu pun daripada ayah.

Ingat lagi ayah, pada ketika anakanda baru empat tahun dan anakanda mahu membeli belon warna merah. Ayah belikan dan anakanda sangat gembira. Anakanda terus berlari-lari dengan belon merah di tangan sambil ketawa riang. Malangnya, belon anakanda pecah tergeser daun lalang. Anakanda menangis, dan ayah sekuat hati memujuk anakanda dan waktu itu walaupun anakanda sangat kecewa, marah dan sedih tetapi tetap juga anakanda terpujuk dengan kata-kata ayah. Terpujuk apabila ayah mengangkat anakanda tinggi dan meletak anakanda pada bahu ayah. Anakanda gembira, dan tangisan pun mereda.

Namun kini, apa yang ayah takutkan semasa anakanda umur empat tahun, terjadi lagi. Bukan lagi belon yang pecah tetapi akankah hati anakandayang pecah? Itulah yang ayah khuatirkan tentang anakanda, pada ketika umur anakanda sudah tidak memungkin ayah meletak anakanda pada bahu ayah, itu juga bermakna anakanda tidak mungkin lagi terpujuk.

Itulah cinta sebelum nikah, ia seperti belon merah yang anakanda inginkan semasa kecil. Ia lembut, ia menggoda dan ia nampak manis. Namun hakikatnya, ia sangat nipis, dan banyak perkara mampu membuatnya pecah pada ketika anakanda membawanya berjalan di jalan penuh lalang.

Ayah, berharap tahan-tahan dahulu perasaan kamu itu. Jangan ditunjuk kepada si lelaki sehingga anakanda terlihat murah. Sekiranya anakanda mampu menahan rasa rindu kepada bonda dan ayah di sini, apalah sangat menahan rasa suka kepada lelaki yang entah siapa.

Banyakkan ingat Allah sayang. Banyakkan menyebut namanya. Berzikirlah, bertahmidlah, bertasbihlah dan bertakbirlah. Banyakkan membaca ayat-ayat-Nya. Kerana hanya kepada Dia anakanda dapat bergantung dengan sepenuh hati selepas ayah dan bonda jauh dari anakanda.

Janganlah pula anakanda menyangka ayah ini kolot orangnya sehingga tidak mahu anakanda bercinta. Tidak salah anakanda bercinta, cuma bagi setiap perkara akan ada masanya yang tepat. Seperti embun yang lembut, tidaklah ia turun ketika matahari sudah tegak di kepala, tidak juga turun pada ketika matahari condong ke barat, ia turun pada waktunya yang tepat, walaupun singkat tetapi itulah yang terindah untuknya.

Sedangkan embun di hujung daun pun punya waktu, apatah lagi cinta yang lebih besar daripada itu. Sekiranya anakanda bertanya, bila waktu yang tepat untuk yang bernama cinta? Jawab ayah, pada ketika semuanya sudah bersedia.

Cinta itu anakanda, bukan sekadar hati yang bersedia menerima dan memberi tetapi, fikiran juga perlu bersedia, emosi perlu bersedia, fizikal perlu bersedia, dan paling utama, adakah pasangan anakanda itu juga sudah bersedia untuk semuanya? Bersedia menerima dan memberi? Pada ketika hanya hati yang bersedia, pada ketika itulah cinta itu umpama belon yang mudah pecah.

Pada ketika anakanda sudah tidak mampu menahan rasa hati, ingatlah anakanda ayah dan bonda di sini. Jaga air muka kami dengan menjaga air muka anaknda, jaga maruah kami dengan menjaga maruah anakanda, dan jaga akhirat kami dengan menjaga akhirat anakanda. Ingat jugalah, jodoh itu terkadang datang lebih awal daripada cinta.

Sekiranya anakanda berasa surat ayah ini sudah keterlaluan, ketahuilah, ayah memang keterlaluan dalam soal sayang dan kasih kepada anakanda. Sayang ayah dan bonda kepada anakanda, keterlaluan sepertinya matahari yang terik, bukannya seperti matahari pagi tidak juga seperti matahari senja.

Sekiranya keterlaluan sayang dan kasih itu salah untuk anakanda, maafkan ayah kerana ayah tidak mampu untuk mengurangkannya. Tidak mampu walaupun sekuman. Baik buruk anakanda, anakanda tetaplah permata dalam hati ayah. Kerana anakanda sudah memegang hati kecil ayah ini sehinggalah saat ayah mati, sedang ayah hanya mampu memegang tangan anakanda semasa anakanda masih kecil.

Akhir kata, semoga anakanda sudah mengerti sedikit hati ayah. Tidak banyak, sedikit pun itu sudah membuat ayah tersenyum. Jadi jaga diri anakanda, kerana ayah dan bonda sudah setiap waktu mendoakan kesejahteraan anakanda dengan air mata. Sekiranya tidak mungkin ayah memegang dan memimpin tangan anakanda sekarang, izinkan ayah memegang dan memimpin anakanda dalam doa ayah.

Salam sayang,
Ayah.

Sunday, December 4, 2011

antara sabar dan mengeluh

                                                 


Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. 
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati." 
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini." 

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?" 
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?" 
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?" 
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua." 

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?" 
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka." 
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil keksaihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya." 

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang." 
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah) 
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

pengorbanan suci

                                                    


Seorang pemuda sedang dalam satu perjalanan yang jauh, berasa amat letih. Dia pun berhenti berehat di satu kawasan perkampungan dan melepaskan kudanya mencari makan di situ. Oleh kerana keletihan, pemuda itu tertidur di bawah pokok. Kudanya yang kelaparan merayau di satu kawasan ladang dan meragut tanaman di situ. Tidak berapa lama kemudian, sang petani yang memiliki ladang itu pun balik. Melihatkan habis tanamannya musnah, petani itu hilang kesabaran lalu membunuh kuda yang memakan tamannya.

Apabila terjaga dari tidur, pemuda itu mencari kudanya. Puas dia mencari tidak juga berjumpa. Akhirnya dia ternampak bangkai kudanya di sebuah ladang. Melihat keadaan itu, dia menjadi marah dan mencari pembunuh kudanya. Dia terus meluru ke sebuah rumah berhampiran.

Sebaik saja menjumpai tuan rumah, dia terus menghamun dan berlakulah pergaduhan dan akhirnya petani itu terbunuh. Peristiwa itu diketahui orang ramai. Pemuda itu dibawa berjumpa khalifah untuk diadilkan. Mengikut hukum qisas, bunuh dibalas dengan bunuh. Khalifah memerintahkan supaya dia dipenjarakan sehari semalam sebelum dia dipancung pada jam 5:00 keesokan petangnya. Pemuda itu merayu supaya dia dibenarkan balik dahulu berjumpa ibunya untuk menyelesaikan satu perkara yang amat mustahak.

Khalifah tidak meluluskan rayuan pemuda itu. Namun pemuda itu tidak berputus asa dan terus merayu sambil menyatakan dia mempunyai tanggungjawab yang mesti diselesaikan sebelum dia dihukum bunuh. Dia berjanji akan balik segera sebaik saja urusannya selesai. Khalifah meminta pandangan waris si mati. Anak petani itu tidak mengizinkan pemuda itu pergi kerana bimbang dia tidak akan datang lagi untuk menerima hukuman mati.

Berkali-kali pemuda itu merayu dan bersumpah akan datang semula, namun tiada seorangpun menunjukkan tanda simpati. Akhirnya tampil seorang tua menuju mengadap khalifah menyatakan kesanggupan untuk menjadi tebusan bagi membolehkan pemuda itu balik ke rumah. Orang tua itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Zar, seorang sahabat Nabi yang banyak merawikan Hadith. Melihat apa yang berlaku, semua hadirin tercengang dan sebahagian besar memarahi Abu Zar kerana tindakannya yang membahayakan diri sendiri. Abu Zar berjanji untuk menjadi tebusan dan membenarkan pemuda itu pulang menyelesaikan masalahnya. Melihat kejadian ini, pemuda itu menjadi tenang dan mengikat janji bahawa dia akan pulang semula untuk pancung sebaik sahaja urusannya selesai. Abu Zar faham kegagalan pemuda itu menunaikan janji akan mengakibatkan nyawanya tergadai.

Ketika ditanya Khalifah bagaimana dia sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan membahayakan, Abu Zar menerangkan demi keluhuran Islam, dia sangat malu melihat tiada siapapun sanggup menghulurkan bantuan ketika pemuda asing itu dalam kesusahan yang amat sangat. Pemuda itu dibenarkan pulang ke rumah sementara Abu Zar pula dikurung di penjara. Pada keesokan petangnya, penuh sesak manusia menuju ke istana khalifah untuk menyaksikan episod yang mencemaskan. Ramai menganggap Abu Zar akan dibunuh kerana kemungkinan besar pemuda itu tidak akan datang menyerahkan lehernya untuk dipancung. Saat yang mendebarkan berlaku apabila beberapa minit lagi jam lima petang, pemuda itu masih belum tiba. Abu Zar dikeluarkan dari kurungan. Kegagalan pemuda itu menghadirkan diri akan menyebabkan Abu Zar menjadi mangsa.

Di saat terakhir, orangramai melihat kelibat seorang lelaki menunggang seekor kuda dengan amat kencang sekali. Ketika itu riak cemas orangramai bertukar menjadi reda. Tepat sekali bagaimana dijanjikan pemuda itu sampai genap jam lima petang. Pemuda itu lantas turun di hadapan Khalifah seraya meminta maaf kerana 'terlambat' menyebabkan suasana tegang dan cemas. Pemuda itu menerangkan sepatutnya dia sampai lebih awal, tetapi terlewat disebabkan tali kudanya putus di tengah perjalanan. Dia menerangkan urusan yang dikatakannya amat penting dulu ialah kerana terpaksa menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai penjaga harta anak-anak yatim dan menyerahkan tugas itu kepada ibunya. Pemuda itu berjumpa Abu Zar untuk mengucapkan terimakasih di atas kesanggupannya menjadikan dirinya sebagai tebusan. Selepas itu dia segera ke tempat dilakukan hukuman pancung. Ketika pengawal hendak menghayun pedangnya, tiba-tiba anak petani dengan suara yang kuat meminta hukuman dibatalkan. Dengan rela hati dia memaafkan kesalahan pemuda itu. Mendengar kata-kata anak petani itu, pemuda itu amat lega dan terus sujud tanda syukur kepada Allah.

Tuesday, October 18, 2011

kisah penggunting rambut & seorang lelaki


assalamualaikum...
 saya ada dengar cerita dari sahabat saya, bagi saya kisah ini sangat menarik untuk kita dan saya rasa ingin mengongsikan kisah tersebut di blog saya ini. Berikut adalah kisah tersebut dengan sedikit ubahsuai versi saya...hehe.

Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.
Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.
“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.
Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.
“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.
“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.
“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.
“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.
Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.
“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.
“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.
“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.
“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.
“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.
“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.
“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.
“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.
“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.
Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.
“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”
“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.
“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.
Antara pengajaran penting:
* Tuhan itu ada. DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha Esa. DIA lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung harap. ALLAH tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan DIA tidak sama dengan mana-mana satu pun.
* Patuhlah kepada perintah ALLAH dan jauhilah larangan ALLAH. Kerana padanya terdapat kesejahteraan dan kebaikan yang menyeluruh. “Aslim, taslam”. Ambillah ISLAM secara keseluruhannya, nescaya semua manusia dan makhluq yang menghuni bersama manusia akan selamat.
Peringatan:
* Ini hanyalah perumpamaan untuk dibuka fikiran sahaja. Kisah sebegini baik untuk disampaikan untuk mengajak manusia berfikir dan merenung. Namun, perumpamaan ini tidaklah tepat dengan ALLAH. Kerana ALLAH itu adalah Tuhan yang tiada suatu pun yang sama denganNYA.
Semoga ada manfaat padanya, insyaALLAH.
WALLAHUA'LAM

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...